Berita TV3 semalam menggunakan istilah "rekayasa". sebelum ini TV3 menggunakan istilah "mancanegara" dan "mantan". Ini adalah istilah yang digunakan di Indonesia. Saya yakin 'pemirsa" TV3 tertanya-tanya apakah gerangan makna perkataan tersebut. Maklumlah perkataan ini masih baru digunakan, tidak seperti perkataan-perkatan "buah dada" atau "payudara", "prihatin", "pantau" , "peka", "pasca" "mapan", "canggih" dan lain-lain.
Istilah "rekayasa" ini memang baru digunakan di Indonesia. Ketika saya tinggal di Indonesia sehingga 1983, belum kedengaran istilah ini. "Rekayasa" hampir bersamaan popularnya dengan "kiat". Tapi apa perlunya kita menggunakan istilah ini sedangkan bahasa Melayu kita masih ada. Atau sekadar untuk aneh-aneh saja. Lho!
Kalau kita suka meniru dan mengekor-ekor, bilakah agaknya kita menjadi bangsa yang punya "jatidiri" dan "mandiri" (lagi-lagi Indonesia!)
Mengenai istilah "jatidiri" ini juga baru dipopularkan di Malaysia. Saya masih ingat ketika saya menjadi Editor di sebuah penerbitan buku (1985), saya menukar perkataan ini yang ditulis oleh penulis Indonesia kerana bimbang tidak difahami oleh khalayak Malaysia. Tapi kini perkataan ini telah diserap ke bahasa Melayu.
Begitulah "ketrampilan" kita berbahasa.
www.riau.cc
07 November 2003
01 November 2003
PM Baru Malaysia
ABDULLAH AHMAD BADAWI mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR 31 Okt. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang berundur setelah menerajui negara selama 22 tahun.
Abdullah, 64, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Istana Negara.
Abdullah yang segak berbaju Melayu berwarna hitam tiba bersama isteri Datin Seri Endon Mahmood di Istana Negara pada pukul 2.40 petang diikuti oleh Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada pukul 2.45 petang.
Turut hadir ialah orang kenamaan lain termasuk anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.
Upacara bersejarah itu diikuti oleh rakyat Malaysia menerusi siaran secara langsung televisyen dan radio.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid berangkat memasuki Balairung Seri pada pukul 3 petang.
Pada 3.05 petang, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh Abdullah sebagai Perdana Menteri dimulakan.
Upacara dimulakan dengan lagu Negara Ku oleh pancaragam Angkatan Tentera Malaysia.
Abdullah kemudian membaca ikrar mengangkat sumpah taat setia serta menyimpan rahsia sebelum menandatangani keempat-empat Suratcara Pelantikan.
Majlis itu disusuli dengan bacaan doa selamat.
Keempat-empat Suratcara Pelantikan itu kemudiannya ditandatangani oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai saksi yang kemudiannya diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman.
Abdullah yang dilahirkan di Kepala Batas, Pulau Pinang, pada 26 November 1939, merupakan anak sulung kepada pasangan guru agama dan ahli politik, Ahmad Badawi dan Datuk Kailan Hassan.
Pada majlis itu juga, Tuanku Syed Sirajuddin telah berkenan menganugerahkan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun kepada Dr. Mahathir.
Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menganugerahkan Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dengan darjah Seri Setia Mahkota (SSM), yang juga membawa gelaran Tun.
Pengakhir majlis itu menandakan sempurnanya penyerahan jawatan Perdana Menteri Malaysia daripada Dr. Mahathir kepada Abdullah.
Sementara itu di PUTRAJAYA, suasana ceria dan tenang jelas terpancar pada wajah Dr. Mahathir, 78, yang memilih untuk memulakan hari terakhirnya sebagai pemimpin negara dengan rutin biasa.
Tepat pukul 7.55 pagi, beliau yang diiringi oleh Dr. Siti Hasmah keluar dari kediaman rasmi, Seri Perdana, Putrajaya ke pejabat untuk melaksanakan tugas-tugas terakhir.
Kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Perdana Menteri bersama isteri menghadiri sidang akhbar khas dengan media tempatan bagi mengucapkan terima kasih kepada rakyat dan semua pihak yang telah memberi kerjasama kepadanya selama ini.
Meskipun sesekali suaranya tersekat-sekat akibat sebak, Dr. Mahathir dengan tenang meneruskan ucapan serta menjawab segala soalan daripada wartawan.
Beliau kemudiannya keluar untuk menunaikan solat fardu Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya.
Masjid yang menjadi mercu tanda pusat pentadbiran negara ilham beliau itu mengalami kesesakan luar biasa apabila beribu-ribu umat Islam tidak melepaskan peluang untuk menyertai Dr. Mahathir menunaikan solat fardu Jumaat dan menatap wajah negarawan itu dari dekat sebelum beliau melepaskan jawatan.
Orang ramai mula membanjiri Masjid Putra seawal 11.30 pagi.
Wartawan serta jurugambar tempatan dan asing turut tiba awal bagi memastikan mereka mendapat kedudukan yang baik untuk merakamkan detik-detik bersejarah itu.
Sebaik selesai menunaikan solat, orang ramai mula beratur panjang di sepanjang laluan keluar sehingga ke pagar masjid untuk bersalaman dengan Dr Mahathir. Ini adalah satu keadaan luar biasa yang belum pernah berlaku sebelum ini, kata seorang pegawai Dr. Mahathir.
Beberapa kumpulan dan persatuan juga turut kelihatan menaikkan sepanduk ucapan Terima Kasih Dr. Mahathir, Jasamu Dikenang di luar masjid.
Keadaan menjadi kecoh seketika apabila orang ramai mula berasak-asak memaksa pegawai pengiring dan penguat kuasa Perbadanan Putrajaya bertindak untuk mententeramkan keadaan.
Bagaimanapun, di sebalik keadaan itu, Dr. Mahathir dengan tenang melayan orang ramai yang ingin bersalam dengannya dan akhirnya masuk ke dalam kenderaan rasmi setelah kira-kira 10 minit mengharungi asakan orang ramai itu.
Sementara itu, sebaik tamat istiadat di Istana Negara, Dr. Mahathir kembali ke Putrajaya dan mengadakan pertemuan tertutup dengan Abdullah pada pukul 4.20 petang.
Pada pertemuan itu, Dr. Mahathir menyempurnakan upacara serah tugas Perdana Menteri Malaysia secara penuh simbolik kepada Abdullah dengan menyerahkan fail meja sebagai tanda penyerahan tanggungjawab.
Upacara yang dijalankan di Pejabat Perdana Menteri di Tingkat Lima Bangunan Perdana Putra itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman.
Dr. Mahathir dan Abdullah kemudiannya mengadakan pertemuan tertutup selama kira-kira setengah jam.
Seluruh rakyat dapat mengikuti peristiwa tersebut yang disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen dan radio tempatan.
Tepat pukul 5.09 petang, Dr. Mahathir menurunkan cap ibu jari pada alat perakam waktu elektronik untuk kali terakhir sebagai kakitangan kerajaan.
Beliau dan Dr. Siti Hasmah diiringi Abdullah serta Endon turun ke lobi bangunan yang dipenuhi oleh kira-kira 1,000 kakitangannya dan Kementerian Kewangan yang berbaris panjang sehingga kaki tangga.
Suasana hiba mula menyelubungi Laman Perdana pada pukul 5.10 petang sebaik sahaja doa selamat dibacakan oleh Imam Besar Masjid Putrajaya, Datuk Sheikh Ismail Mohamad.
Nada hiba doa selamat bagi menghargai jasa Dr. Mahathir itu bukan sahaja membuatkan Sheikh Ismail sebak, malah menyebabkan ramai hadirin menitiskan air mata.
Sebaik sahaja Dr. Mahathir meneruskan langkah, para hadirin menyerbu dan berasak-asak untuk bersalaman dengan Dr. Mahathir.
Selain bersalaman, mereka turut berpusu-pusu mahu menyerahkan pelbagai cenderamata kepada Dr. Mahathir.
Tiba di keretanya Dr. Mahathir sempat melambai-lambai tangan serta berpusing beberapa kali sebelum masuk ke dalam kenderaan itu dan pulang ke Seri Perdana.
Di luar Bangunan Perdana Putra itu, pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria (VI) membuat persembahan istimewa mengiringi pemergian Dr. Mahathir dan isterinya.
Malam ini, Dr. Mahathir dan isteri berkumpul bersama ahli keluarganya dan sahabat terdekat berbuka puasa dan bersolat tarawih.
UTUSAN MALAYSIA
Langgan:
Catatan (Atom)