29 Ogos 2005

Aa Gym berkunjung ke Malaysia

Akhirnya Aa Gym muncul di TV1, Malaysia, jam 9:00 tadi. Mungkin namanya belum begitu dikenali di Malaysia, tapi di Indonesia nama Abdullah Gymnastiar alias Aa Gym memang ngetop dengan pendekatan dakwahnya yang menyejukkan. Beliau mempunyai rangkaian TV, radio, sekolah dan perniagaan, terkenal dengan 'Manajemen Qalbu'. Beliau juga termasuk tiga orang tokoh Islam yang ingin ditemui oleh Presiden Bush ketika berkunjung ke Bali semasa pemerintahan Presiden Megawati Sukarnoputri. Untuk mengetahui biodata ringkasnya klik di sini.

Di TV1 Aa Gym berbicara tentang 3A yakni konsep membentuk seorang muslim yang aman bagi diri sendiri, orang lain dan persekitaran. Beliau juga menyentuh cara pendekatan dakwah 3M, iaitu (1) mulai dari diri (2) mulai dari yang kecil (3) mulai dari saat ini (sekarang juga).

Setelah wawancara di TV1, beliau kemudian diwawancara oleh Hj Ismail Noor (Jakim) melalui Nasional.FM pada jam 11.42 hingga 11.58. Beberapa topik diajukan, antara lain: menghayati nilai kemerdekaan, wanita Islam, jihad, ancaman aqidah/ajaran sesat.

Aa Gym menjelaskan pelbagai sisi penjajahan: penjajahan budaya, penjajahan informasi, penjajahan harta dan nafsu. "Tapi yang paling penting adalah merdeka dari nafsu," tegasnya.

Merdeka itu, katanya, sebuah nikmat. Namun nikmat itu baru dapat dirasakan kalau kita bersyukur bahawa diri kita ini adalah titipan Allah. Bersyukur dengan keadaan diri kerana melihat ada orang lain yang lebih menderita. Bersyukur kerana orang yang sebelum kita telah berjuang untuk kemerdekaan. Bersyukur dengan sentiasa ingat dan mendekati Allah swt. Nikmat itu bergantung kepada syukur. Orang yang tidak bersyukur, tidak dapat merasakan nikmat Allah.

Jihad adalah usaha yang bersungguh-sungguh (1) kita mesti memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu, kemudian (2) keluarga dan seterusnya (3) membantu persekitaran kita.

Islam amat menghormati wanita. Oleh itu suami bertanggungjawab mencerdaskan isteri.

Berkenaan dengan generasi muda yang dikatakan suka berhibur, Aa Gym menyatakan bahawa mereka memerlukan keteladanan (public figure), model atau idola. Oleh itu tugas pemimpin adalah mencari model yang dapat menjadi ikutan generasi muda.

Untuk menyekat ancaman ajaran sesat, Aa Gym menegaskan bahawa pendakwah mestilah kreatif dan innovatif sehingga menarik minat orang yang mendengarnya. Misalnya, penjual durian walaupun duriannya bagus, tetapi cara menjualnya tidak menarik, tidak akan laku. Sebaliknya, jika penjual itu dapat menarik perhatian pelanggan, walaupun duriannya busuk, pembeli tetap tertarik.

Malam ini beliau berangkat ke Penang dan akan memberi ceramah di Dewan Millenium, Kepala Batas.

Aa Gym mempunyai Aura yang kuat dan menyampaikan siraman dakwah yang menyejukkan. Auranya terasa juga ketika beliau berdoa di akhir rancangan tersebut. Maka tidak hairanlah jika Perdana Menteri Malaysia menjemput beliau, mungkin, dalam usaha menjelaskan Islam Hadhari.

Pautan:
-KH Abdullah Gymnastiar Tawarkan Damai dan Manajemen Qalbu
-MQ Aa Gym
-CyberMQ
-Tokoh: Abdullah Gymastiar

2 ulasan:

Nashrex berkata...

as'kum...
bagus laa blog anda..
banyak info yang mendatangkan munafaat.. :)

Yusuf berkata...

Blog yang menarik dan bisa jadi syiar juga..terimakasih