22 Oktober 2005

Setelah Endon tiada ...

Akhbar hari ini menyiarkan perihal Pak Lah yang terasa kesunyian setalah kepergian isteri yang dikasihi. ``Saya sunyi, sunyi...'' ucapnya dengan nada perlahan, seperti dilaporkan di muka hadapan Utusan Malaysia. Kita dapat bayangkan keadaan Pak Lah itu. Untunglah beliau ramai orang yang memberikan sokongan kala saat-saat duka begini. Ia sunyi tapi kerja-kerja yang menunggu yang begitu banyak harus diteruskan juga.

"Tak taulah...boleh jadi pasal agama itu penting. Mengikut ajaran agama, bila kita kehilangan ahli keluarga, kita mesti banyak bersabar," katanya kepada pemberita selepas menziarahi pusara isterinya di Tanah Perkuburan Taman Selatan, Presint 20, di sini semalam (Berita Harian).

Pak Lah diiringi putra-putrinya bersama pasangan masing-masing, Kamaluddin, Nori, Khairy Jamaluddin dan Azrene Abdullah serta tiga orang cucunya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dari dalam dan luar negara yang menghantar ucapan takziah atas kepergian isterinya, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood ke rahmat Allah pagi Khamis yang lalu.

Antara tetamu dari luar negara yang menyaksikan saat-saat pengkebumian di tanah perkuburan untuk memberi penghormatan terakhir pada petang Khamis yang lalu ialah Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo dan Setiausaha Luar Negaranya, Alberto G.Romulo; Timbalan Perdana Menteri Thailand, Dr. Surakiart Sathiratai dan Menteri Luar Dr. Kantathi Suphamongkhon dan Menteri Penyelaras Kesejahteraan Rakyat Indonesia, Alwi Shihab.

Juga hadir, Presiden Singapura, S R Nathan; Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong; Menteri Kanan, Goh Chok Tong; Timbalan Perdana Menteri, S Jayakumar dan Menteri Luar, George Yeo.

Sultan Brunei diwakili oleh Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan isteri Dayangku Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman.

"Banyak dari luar negara... saya ucap terima kasih. Saya hargai ada yang hantar wakil yang ketua tidak dapat datang, saya ucap terima kasih," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Berita kepergian almarhumah disiarkan oleh radio dan TV, kerajaan dan swasta. Akhbar online yang cepat menyiarkan berita duka ini adalah Berita Harian. Ketika saya akses jam 1o pagi, Utusan Malaysia belum menyiarkannya. Bahkan laman web RTM tidak mengambil berat hal ini kerana saya tercari-cari juga seketika tapi tak mendapatkan maklumat yang saya cari. Saya menyebutkan dua akhbar ini kerana inilah akhbar perdana bahasa Melayu yang bersaing sengit. RTM pula media kerajaan yang sepatutnya memberikan maklumat segera, tidak hanya melalui radio dan televisyen tapi juga melalui laman webnya.

Ada dua versi yang saya perolehi berkenaan dengan masa kepergian almarhumah: (1) jam 7:50 dan (2) jam 7:55. Berkenaan dengan tahun kelahiran juga demikian: (1) 1940 (2) 1941.

Pada hari tersebut radio dan TV turut berkabung dengan menyiarkan ayat-ayat suci al-Quran dan lagu-lagu yang bersesuaian dengan suasana tersebut. Yang menarik bagi saya adalah pakaian penyampai berita TV, ada yang memakai selendang ditempelkan dikepala dan ada juga yang memakai tudung sempurna berwarna gelap. Paling menarik perhatian ialah cara Dang Suria dari NTV 7, menunjukkan kesedihannya sehingga tak berani melihat kamera. Kadang-kadang kita melihat mata putihnya saja. Suaranya perlahan, memberikan kesan seolah-olah dibuat-buat. Itulah kesan saya ketika melihat Dang membaca berita dan saya mohon maaf sekiranya saya salah.

Terakhir, semua media masih memilih perkataan pemergian dan saya menggunakan kepergian. Berkenaan dengan hal ini, lihat catatan saya "Pengaruh Indonesia dalam Muzik dan Filem Malaysia (3)". Juga, perkataan klise "menghembuskan nafas yang terakhir" masih menjadi pilihan media.



Berita terkait:

20 Oktober 2005

Takziah: Datin Seri Endon Mahmood telah meninggalkan kita.

Assalamualaikum wr wb

Kami sekeluarga mengucapkan Takziah kepada YAB DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI dan keluarga atas berpulangnya ke rahmatullah Datin Seri Endon Mahmood (al-Marhumah)pada 20 Oktober 25jam 7:55 pagi.
"Allaahummaghfirlahaa warhamhaa wa`aafihaa wa`fu`anhaa"
Semoga keluarga yang ditinggalkan tabah, sabar dan sihat sejahtera. Amin!

Wassalam

02 Oktober 2005

Belasungkawa kepada korban bom di Bali

Setelah setahun berlalu, Bali digemparkan lagi dengan bom semalam. Letupan tahun lalu dikaitkan dengan Jamaah Islamiyah. Kini orang mengagak-agak, mungkinkah pelaku yang sama mengulangi perbuatan terkutuk ini? Jika ia dikaitkan dengan Islam, ah, imej Islam bertambah buruk lagi. Begitulah! Semakin buruk Islam di mata dunia, semakin mudahlah untuk memeranginya dengan alasan membasmi terorisme di muka bumi ini.

Sebagai Muslim, aku juga mengutuk perbuatan itu, yang menurut pemahamanku, tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenarnya. Islam membawa kedamaian dan kasih sayang. Islam membawa cinta untuk semua, bukan kebencian.

Siapakah teroris yang sebenarnya? Belasungkawa untuk mereka yang terkorban.
Damailah selalu hendaknya, amin! Selamat menyambut Ramadhan al-mubarak!