29 Januari 2007

Hari asyura'

Gambar: Cara Syiah menyambut asyura'

Oleh Syafrein Effendiuz
Hari asyura' adalah hari ke sepuluh bulan Muaharam. Banyak peristiwa penting terjadi pada 10 Muharam. Dalam buku Mukasyafatul Qulub, Imam al-Ghazali menuliskan beberapa peristiwa penting yang terjadi pada tarikh ini:
  1. Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
  2. Diciptakan Nabi Adam
  3. Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
  4. Diterima taubat Nabi Adam a.s.
  5. Hari kelahiran Nabi Ibrahim
  6. Hari bebasnya Nabi Ibrahim dari bahaya unggun api Raja Namrud
  7. Hari kemenangan Nabi Musa dan pengikutnya
  8. Tenggelamnya Fir'aun
  9. Hari kelahiran Nabi Isa
  10. Hari Nabi Isa diangkat ke langit
  11. Nabi Idris diangkat ke tempat yang mulia
  12. Nabi Nuh selamat mendaratkan kapalnya di atas bukit Judy
  13. Nabi Sulaiman mendapat kerajaan luar biasa
  14. Nabi Yunus keluar dengan selamat dari dalam perut ikan Nun
  15. Nabi Yaakub yang buta dapat melihat semula
  16. Nabi Yusuf dikeluarkan dari telaga buta
  17. Nabi Ayub sembuh dari penyakit yang mengancam jiwa
  18. Hujan yang pertama turun dari langit ke bumi
  19. Terbunuhnya Sayyidina Husein (cucu Nabi) di Karbala'.
Orang Melayu menyambut asyura' dengan memasak bubur asyura. Bubur asyura ini berbeza mengikut negeri.

Di Jawa, bulan Muharam disebut bulan Suro. Mungkin perkataan suro ini berasal dari asyura. Orang Jawa menyambutnya dengan berbagai-bagai kegiatan: ada yang membuat persembahan wayang kulit semalam suntuk, tirakatan, memandikan pusaka-pusaka seperti keris dan tombak, dan sebagainya.

Bulan Suro juga dianggap "gawat". Mereka menghindari bulan tersebut kerana takut celaka atau mendapat sial.

Penganut Syi'ah memperingati 10 Muharam kerana pada hari inilah terbunuhnya Husein bin Ali bin Abi Talib dalam peperangan dengan rejim Yazid bin Mu'awiyah di Karbala, Iraq pada tahun 61 Hijriyah (20 Oktober 680 M). Jenazah Husein diperlakukan dengan cara yang sangat kejam.

Oleh itu, penganut Syiah menetapkan 10 Muharam sebagai hari berkabung. Mereka memperingatinya dengan melakukan penyeksaan pada diri sendiri sehingga berlumuran darah. Warga Syiah memukuli badan mereka dengan rantai dan pedang untuk meratapi kesyahidan Imam Husein.

Sebahagian pemimpin Syiah tidak menggalakkan cara ini kerana ia akan memberikan gambaran buruk dan mundur terhadap penganutnya. Sesetengah pemimpin Syiah menggalakkan mereka untuk menderma darah.

Kematian Husein bagi penganut Syiah bukan sahaja sebagai syahid, tetapi juga sebagai tanda perlawanan terhadap sebarang bentuk pengkhianatan, ketidakadilan, penindasan dan kekejaman penguasa.

Cara yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. pada hari ini adalah dengan berpuasa.

"Barangsiapa melapangkan (meringankan, memberi) keluarganya dan ahlinya pada hari asyura, maka Allah akan memberikan kelapangan pula kepadanya dalam waktu tahun yang bersangkutan." (Riwayat Baihaqi).

"Hari ini adalah hari Asyura', dan Allah tidak mewajibkannya atas kalian. Siapa yang mau silahkan berpuasa, yang tidak juga boleh meninggalkannya." (Diriwayatkan oleh Mu'awiyah)

Kalangan mazhab Hanafi berpendapat bahawa puasa yang diwajibkan pertama kali atas umat Islam adalah puasa asyura'. Setelah datang Ramadan asyura' dimansukhkan (dibatalkan). Pendapat ini berdasarkan hadis Ibn Umar dan Aisyah ra.:

Diriwayatkan dari Ibn 'Amr r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah berpuasa hari asyura' dan memerintahkannya (kepada umatnya) untuk berpuasa pada hari itu. Dan ketika datang Ramadan maka beliau tinggalkan puasa asyura', Abdullah (Ibnu 'Amr) juga tidak berpuasa". (Riwayat Bukhari).

"Diriwayatkan dari Aisyah r.a., bahawa orang-orang Quraisy biasa melakukan puasa asyura' pada masa jahiliyah. Kemudian Rasulullah memerintahkan untuk berpuasa hari asyura' sampai diwajibkannya puasa Ramadan. Dan Rasul berkata, barang siapa ingin berpuasa asyura' silahkan berpuasa, jika tidak juga tak apa-apa". (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah biasa melakukan puasa asyura' sejak sebelum hijrah dan terus diamalkan selepas hijrah. Ketika hijrah ke Madinah beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa (asyura'), beliau pun ikut berpuasa seperti mereka dan manyerukan kepada ummatnya untuk melakukan puasa itu.

Ibn Abbas r.a. meriwayatkan, ketika Nabi s.a.w. sampai di Madinah, beliau melihat orang-orang Yahudi sedang melakukan puasa Asyura', lalu beliau bertanya: "(Puasa) apa ini?" Mereka menjawab: "Ini adalah hari Nabi Saleh a.s., hari di mana Allah s.w.t. memenangkan Bani Israel atas musuh-musuhnya, maka lantas Musa a.s. melakukan puasa pada hari itu." Lalu Nabi s.a.w.
berkata: "Aku lebih berhak atas Musa daripada kalian." Lantas beliau melaksanakan puasa tersebut dan memerintahkan (kepada sahabat-sahabatnya) berpuasa. (Riwayat Bukhari). Wallahu a'lam.

20 Januari 2007

1 Muharam 14 28 Hijriyah

Setelah disibukkan oleh beberapa hal, termasuk banjir yang melanda, baru hari ini CS dapat menulis. CS mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijriyah 1428.

Semalam CS mengikuti acara di surau: baca Yasin, doa akhir tahun (sebelum maghrib), doa awal tahun (selepas maghrib) dan ceramah.

Pagi ini CS menerima email dari Shafini Ashraq, Presint 11, Putra Jaya, juga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah. Bukan itu saja, dia juga menulis tentang peristiwa Hijrah:

[Petikan mula]
MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Doa akhir tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata:
"Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun."

Peristiwa-peristiwa penting:

1. 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
2. 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.


Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16. Allah menjadikan 'Arasy.
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18. Allah menjadikan alam.
19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
20. Nabi Isa diangkat ke langit.
[Petikan tamat]