Oleh Syafrein Effendiuz
Hari asyura' adalah hari ke sepuluh bulan Muaharam. Banyak peristiwa penting terjadi pada 10 Muharam. Dalam buku Mukasyafatul Qulub, Imam al-Ghazali menuliskan beberapa peristiwa penting yang terjadi pada tarikh ini:
- Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
- Diciptakan Nabi Adam
- Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
- Diterima taubat Nabi Adam a.s.
- Hari kelahiran Nabi Ibrahim
- Hari bebasnya Nabi Ibrahim dari bahaya unggun api Raja Namrud
- Hari kemenangan Nabi Musa dan pengikutnya
- Tenggelamnya Fir'aun
- Hari kelahiran Nabi Isa
- Hari Nabi Isa diangkat ke langit
- Nabi Idris diangkat ke tempat yang mulia
- Nabi Nuh selamat mendaratkan kapalnya di atas bukit Judy
- Nabi Sulaiman mendapat kerajaan luar biasa
- Nabi Yunus keluar dengan selamat dari dalam perut ikan Nun
- Nabi Yaakub yang buta dapat melihat semula
- Nabi Yusuf dikeluarkan dari telaga buta
- Nabi Ayub sembuh dari penyakit yang mengancam jiwa
- Hujan yang pertama turun dari langit ke bumi
- Terbunuhnya Sayyidina Husein (cucu Nabi) di Karbala'.
Di Jawa, bulan Muharam disebut bulan Suro. Mungkin perkataan suro ini berasal dari asyura. Orang Jawa menyambutnya dengan berbagai-bagai kegiatan: ada yang membuat persembahan wayang kulit semalam suntuk, tirakatan, memandikan pusaka-pusaka seperti keris dan tombak, dan sebagainya.
Bulan Suro juga dianggap "gawat". Mereka menghindari bulan tersebut kerana takut celaka atau mendapat sial.
Penganut Syi'ah memperingati 10 Muharam kerana pada hari inilah terbunuhnya Husein bin Ali bin Abi Talib dalam peperangan dengan rejim Yazid bin Mu'awiyah di Karbala, Iraq pada tahun 61 Hijriyah (20 Oktober 680 M). Jenazah Husein diperlakukan dengan cara yang sangat kejam.
Oleh itu, penganut Syiah menetapkan 10 Muharam sebagai hari berkabung. Mereka memperingatinya dengan melakukan penyeksaan pada diri sendiri sehingga berlumuran darah. Warga Syiah memukuli badan mereka dengan rantai dan pedang untuk meratapi kesyahidan Imam Husein.
Sebahagian pemimpin Syiah tidak menggalakkan cara ini kerana ia akan memberikan gambaran buruk dan mundur terhadap penganutnya. Sesetengah pemimpin Syiah menggalakkan mereka untuk menderma darah.
Kematian Husein bagi penganut Syiah bukan sahaja sebagai syahid, tetapi juga sebagai tanda perlawanan terhadap sebarang bentuk pengkhianatan, ketidakadilan, penindasan dan kekejaman penguasa.
Cara yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. pada hari ini adalah dengan berpuasa.
"Barangsiapa melapangkan (meringankan, memberi) keluarganya dan ahlinya pada hari asyura, maka Allah akan memberikan kelapangan pula kepadanya dalam waktu tahun yang bersangkutan." (Riwayat Baihaqi).
"Hari ini adalah hari Asyura', dan Allah tidak mewajibkannya atas kalian. Siapa yang mau silahkan berpuasa, yang tidak juga boleh meninggalkannya." (Diriwayatkan oleh Mu'awiyah)
Kalangan mazhab Hanafi berpendapat bahawa puasa yang diwajibkan pertama kali atas umat Islam adalah puasa asyura'. Setelah datang Ramadan asyura' dimansukhkan (dibatalkan). Pendapat ini berdasarkan hadis Ibn Umar dan Aisyah ra.:
Diriwayatkan dari Ibn 'Amr r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah berpuasa hari asyura' dan memerintahkannya (kepada umatnya) untuk berpuasa pada hari itu. Dan ketika datang Ramadan maka beliau tinggalkan puasa asyura', Abdullah (Ibnu 'Amr) juga tidak berpuasa". (Riwayat Bukhari).
"Diriwayatkan dari Aisyah r.a., bahawa orang-orang Quraisy biasa melakukan puasa asyura' pada masa jahiliyah. Kemudian Rasulullah memerintahkan untuk berpuasa hari asyura' sampai diwajibkannya puasa Ramadan. Dan Rasul berkata, barang siapa ingin berpuasa asyura' silahkan berpuasa, jika tidak juga tak apa-apa". (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah biasa melakukan puasa asyura' sejak sebelum hijrah dan terus diamalkan selepas hijrah. Ketika hijrah ke Madinah beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa (asyura'), beliau pun ikut berpuasa seperti mereka dan manyerukan kepada ummatnya untuk melakukan puasa itu.
Ibn Abbas r.a. meriwayatkan, ketika Nabi s.a.w. sampai di Madinah, beliau melihat orang-orang Yahudi sedang melakukan puasa Asyura', lalu beliau bertanya: "(Puasa) apa ini?" Mereka menjawab: "Ini adalah hari Nabi Saleh a.s., hari di mana Allah s.w.t. memenangkan Bani Israel atas musuh-musuhnya, maka lantas Musa a.s. melakukan puasa pada hari itu." Lalu Nabi s.a.w.
berkata: "Aku lebih berhak atas Musa daripada kalian." Lantas beliau melaksanakan puasa tersebut dan memerintahkan (kepada sahabat-sahabatnya) berpuasa. (Riwayat Bukhari). Wallahu a'lam.