23 April 2003

GENEVA: Angka rasmi terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan keseluruhan kes SARS ialah 3,861 membabitkan 27 negara dan sudah menyebabkan 217 kematian.

Menurut perangkaan yang disiarkan di laman web WHO semalam, 1,958 penduduk China menghidap wabak itu dan menyebabkan 86 mangsa mati manakala di Hong Kong, SARS menyebabkan 94 kematian dengan 1,402 orang dijangkiti.

Sebanyak 178 kes wabak yang dikatakan bermula dari wilayah Guangdong, China, November lalu, berlaku di Singapura menyebabkan 16 kematian.

Jumlah kematian di Vietnam ialah lima orang dengan 63 kes manakala Thailand melaporkan tujuh kes dengan dua kematian.

Enam kes dilaporkan di Malaysia dengan dua kematian, 29 kes di Taiwan tanpa kematian dan dua kes di Filipina dengan satu kematian.

Sehingga kini, jumlah kes SARS di Jepun ialah lima, Mongolia (tiga) dan masing-masing satu kes di Indonesia dan India.

Di luar Asia, Kanada menjadi negara paling teruk diserang wabak itu dengan 132 kes dan menyebabkan 12 kematian. Amerika Syarikat mempunyai kemungkinan 39 kes tetapi belum ada kematian.

Perangkaan WHO itu menyatakan masing-masing enam kes berlaku di Jerman dan Britain, manakala Perancis (lima) dan masing-masing tiga kes di Sweden dan Itali serta satu kes di Romania, Switzerland, Sepanyol dan Ireland.

Selain itu, masing-masing dua kes dilaporkan di Australia dan Brazil dan satu kes di Kuwait. )Laporan ini dipetik dari Harian Metro Edisi Internet, hari ini).

Sebenarnya, penduduk Malaysia begitu bimbang terhadap perkembangan SARS ini. Mereka mengharapkan kerajaan mampu menangani hal ini. Ada yang bilang SARS lebih serius daripada HIV/AIDS. Coba kita renungkan sejenak!