24 April 2003

Lelaki 4 isteri, 50 anak didakwa rogol anak kandung

KOTA BHARU 22 April - Seorang lelaki beristeri empat yang mempunyai 50 orang anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 11 tahun.

Tertuduh Tengku Ismail Tengku Ibrahim, 56, yang bekerja sebagai pemborong am didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya dekat Kampung Khatib Ali, Jalan Bayam, di sini pada pertengahan tahun lalu.

Tengku Ismail yang tidak mengaku salah meminta kes ini dibicarakan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya.(23/04/2003)

Nelayan rogol anak dipenjara 45 tahun
Oleh: SITI MARIAM MD ZIN

ALOR STAR 20 Mac - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 45 tahun dan sebatan 21 kali ke atas seorang nelayan kerana merogol anak kandungnya yang juga menghidap penyakit leukemia.

Anaknya telah pun meninggal dunia kira-kira setahun lalu.

Hukuman berkenaan merupakan antara hukuman yang paling berat pernah dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen bagi kesalahan jenayah rogol di negara ini.(21/03/2003)

Rogol anak tiri: Penganggur dipenjara, sebat
Oleh: HABIBAH OMAR
JOHOR BAHRU 10 Jun - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 19 tahun dan sebatan 12 kali ke atas seorang penganggur setelah didapati bersalah merogol anak tirinya di sebuah rumah pada November 1998.

Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Nor Sulaiman, 42, setelah pendakwa raya berjaya membuktikan kesnya tanpa keraguan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.(11/06/2002)

Wanita dipenjara 36 tahun bantu kekasih rogol anak
SINGAPURA 25 Mei - Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 36 tahun semalam kerana membantu teman lelakinya merogol anak perempuannya sejak gadis itu berumur sembilan tahun.

Straits Times melaporkan bahawa teman lelakinya, 48, yang sudah beristeri dan mempunyai tiga orang anak, Peh Thian Hui juga dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan disebat 24 kali.

Wanita berusia 35 tahun itu yang namanya dirahsiakan bagi melindungi identiti anaknya yang dianiaya hampir setiap hari sejak September 1996, terlepas daripada hukuman sebatan.(26/05/2002)

Peguam Negara arah rayu hukuman bapa rogol anak
KUALA LUMPUR 16 April - Peguam Negara, Datuk Abdul Gani Patail telah mengarahkan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan supaya memfailkan notis rayuan terhadap hukuman 12 tahun penjara yang dijatuhkan semalam ke atas seorang bapa yang merogol anak gadisnya berusia 12 tahun.

Abdul Gani berpendapat hukuman itu, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah terhadap seorang buruh kerana dua kesalahan merogol anaknya, tidak mencerminkan kepentingan awam.

Semalam, Hakim Harminder Singh Dhaliwal menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan enam sebatan terhadap lelaki berusia 42 tahun itu bagi setiap kesalahan yang dilakukannya.

Bagaimanapun, hakim berkenaan mengarahkan lelaki berkenaan yang mengaku bersalah merogol anak perempuannya itu, menjalani hukuman itu secara serentak.

Ketika dihubungi Bernama, Abdul Gani berkata, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dengan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Abdul Gani berkata, mahkamah sepatutnya mengarahkan lelaki itu menjalani hukuman bagi kedua-dua kesalahan secara berasingan.

Lelaki berkenaan dituduh merogol anaknya di rumahnya di Felda Serting Tiga, Ayer Hitam, Jempol, antara 12 tengah hari hingga 7 malam, 3 Jun tahun lepas.

Dia juga mengaku melakukan perbuatan yang sama antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi, 3 Ogos tahun lepas. - Bernama.(Utusan 17/04/2002)

Berita-berita yang dipetik dari Utusan Online di atas menunjukkan betapa seriusnya kes ini. Kenapa kes haruan makan anak ini semakin menjadi-jadi? Mereka yang melakukan hal di atas, sebenarnya sakit sehingga tidak layak lagi dikategorikan sebagai manusia biasa, manusia normal. Jadi, apa yang seharusnya kikta panggil mereka?