03 Oktober 2006

Wartawan "Cut & Paste"

Catatan berikut merupakan surat saya kepada ruangan forum Utusan Malaysia yang tidak dapat disiarkan.
Saya ingin merujuk dua rencana di Pancaindera, 24 September 2006 (1) Inspirasi Perjuangan" (ms 12) dan (2) "Gosip naikkan populariti Ratu" (ms 25). Kedua-dua tulisan itu merupakan penulisan "cut and paste" sama ada diambil melalui laman web atau kenyataan akkbar syarikat rakaman berkenaan.

Kita boleh membandingkan rencana mengenai Iwan Fals (ms 12) dengan kenyataan akhbar Musica Studio. Hanya beberapa perkataan saja yang diubah seperti "Sosok" menjadi "Tubuh". Malangnya terjemahan ini tidak sesuai dan sangat mengelirukan. "Sosok" di sini bukan bermakna tubuh secara fizikal, tetapi maknanya lebih menjurus kepada (dalam bahasa Inggeris) "appearance" dan "figure".

Dalam rencana kedua (ms 25) juga jelas bahawa penulisnya menyalin bulat-bulat dari tulisan asalnya. "Kebanjiran job",dan "suskses" memang biasa digunakan di Indonesia.

Saya juga sering mengesan tulisan-tulisan dari wakil Utusan di Jakarta juga diambil dari akhbar dan majalah Indonesia. Ini memang kerja senang dan pantas, tak perlu terjun ke lokasi untuk membuat laporan. Lagi pun, "siapa yang tahu?"

Anggapan ini salah, pembaca semakin hari semakin bijak dan mereka boleh mengkases pelbagai maklumat melalui internet. Jadi jika wartwan ingin meningkatkan mutu penulisan mereka mestilah berusaha lebih daripada sekadar menjadi wartawan "cut and paste".

Salah satu contoh penulisan tanpa membuat penyelidikan adalah rencana tentang lagu "Kisah Seorang Biduan" beberapa waktu yang lalu. Rencana tersebut menyatakan bahawa lirik lagu tersebut karya Dhalan Zainuddin. Sebenarnya lagu tersebut asalnya dinyanyikan oleh Bimbo, kumpulan dari Bandung yang terkenal tahun 70-an. Judul lagu asal lagu itu adalah "Balada Seorang Biduan". Kerana ketika itu orang Melayu belum mesra dengan perkataan "balada", maka ditukar menjadi "kisah dan perkataan 'sendu" ditukar menjadi "sedih".

Di akhbar berbahasa Melayu yang lain, saya juga mengesan perkara serupa. Orang ramai menganggap penyanyi asal lagu "Gadis Melayu" ialah Othman Hamzah padahal lagu itu dinyanyikan oleh Ahmad Albar dari Indonesia. Ramli Sarip ada juga menyanyikan lagu Ahmad Albar yakni "Zakia" selain lagu-lagu Ebiet G Ade seperti "Camelia".

Sepatutnya wartawan mendedahkan perkara ini dengan membuat penyelidikan dulu sebelum menulisnya bukan sekadar "cut and paste" dan menerima bulat-bulat kenyataan akhbar syarikat rakaman.

Pautan:
Catat Ulasan