30 Ogos 2003

KAYAK MERDEKA: MELAKA - DUMAI

Pagi tadi, saya mendengar siaran Radio Malaysia Melaka (RMM) yang sedang menemubual Encik Haji Idris mengenai 46 peserta yang berkayak dari Melaka ke Dumai. Pagi ini, jam 7.30 WIB seharusnya mereka bertolak kembali ke Melaka. Tapi terpaksa ditunda sejam kerana 18 peserta mengalami sakit perut. Kata En. Idris, di Dumai mereka dijamu makan dan mereka makan apa saja yang dihidang dengan berselera. Rombongan ini terpaksa naik ke dalam bot sekitar 10 batu nautika kerana dihempas ombak yang kuat di Tanjung Jati.

Encik Idris juga menceritakan sambutan pemuda di sana. Begitu juga sambutan walikota Dumai yang begitu hangat. Mereka dalam keadaan yang jauh kekurangan dari segi material, tapi dapat menyambut rombongan kayak dengan penuh meriah. Walikota Dumai juga menyatakan hasrat agar tahun depan belia Dumai mampu berperahu Naga ke Melaka. Syabas!

Saya juga mencadangkan kepada pemerintah daerah kabupaten Bengkalis (dulu Dumai adalah bahagian dari Bengkalis), agar membuat pelayaran Lancang Kuning ke Melaka. Alasannya: (1) Lancang Kuning merupakan kisah legendaris dari Bengkalis, (2) Orang-orang di kabupaten Bengkalis sejak dulu lagi mempunyai hubungan erat dengan Melaka. Mereka dulu hanya bersampan sahaja ke Melaka, Muar, Batu Pahat dan Singapura. (3) Menjalinkan hubungan mesra antara kedua daerah ini. Bagaimana Pak Bupati? Insya Allah.