Kita tidak selamat di jalan raya
Dua berita akhbar sungguh menyayat hati hari ini. Pertama, seorang kanak-kanak, Mohd. Helmi Mohd Noor, 3, yang sedang menunggu kepulangan bapanya mati setelah dilanggar oleh kereta bapanya yang baru pulang dari kerja di Rumah Murah Kampung Gong Gemia, Paka, Dungun. Kedua, tiga lelaki dan dua wanita rakan sekerja maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori sayur di Kilometer 144 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Temerloh.
Sebelum ini, pada 24 Ogos, 12 orang terkorban dalam kemalangan maut di Kilometer 36, Jalan Ipoh - Kuala Lumpur di kawasan Serendah, termasuk lima ahli keluarga. Rentetan kemalangan ini sungguh membimbangkan, kerana jalan raya merupakan di antara pembunuh utama di Malaysia. Sebahagiannya disebabkan oleh pemandu-pemandu yang tidak berdisiplin, tidak sabar dan mementingkan diri sendiri.
Kita dapat menilai watak sebenarnya seseorang itu pabila mereka berada di jalan raya. Saya kenal seseorang yang berpendidikan tinggi yang kelihatan baik dan sopan, tapi pabila dia berada di jalan raya, masya Allah, kita tidak percaya orang tersebut berbeza sekali sewaktu di pejabat.
Malang tidak berbau, itulah yang dapat kita katakan pabila membaca berita seorang kanak-kanak mati dilanggar bapanya sendiri. Kejadian ini berulang lagi dan mungkin akan berulang. Jadi berhati-hatilah ketika memandu walau bukan di jalan raya sekalipun!