04 April 2005

Siti Nurhaliza - Wajah, aksi di Royal Albert Hall


Pengurus Eksekutif Konsert Siti di Royal Albert Hall, Ahmad Fadzli Yaakob (kiri) menyerahkan cenderamata kepada Ketua Pegawai Eksekutif Royal Albert Hall, David Elliott.

Tarikh 1 April yang penuh simbolik! Bagi Siti Nurhaliza Taruddin, tarikh itu mungkin satu tarikh keramat. 10 tahun lalu, tarikh itu telah memperkenalkan Siti sebagai seorang penyanyi yang hanya berusia 16 tahun.
Pada tarikh yang sama, pada usia yang semakin matang, Siti mencatatkan sejarah tersendiri apabila beraksi di dewan berprestij dunia, Royal Albert Hall di Kota London.
Umpama mimpi yang menjadi kenyataan, Siti bukan sahaja berjaya mengharumkan nama negara pada tarikh itu.
Dia sekali gus berjaya meletakkan namanya sebaris dengan lebih 150,000 penghibur ternama dunia yang pernah mengadakan persembahan di dewan berusia 134 tahun itu.
Selama tiga bulan bertungkus lumus membuat persediaan paling rapi untuk menyajikan persembahan yang dianggap paling sempurna pernah dijayakannya, Siti berjaya mencipta sejarahnya sendiri.
Dia menjadi artis ketiga Asia yang beraksi di dewan itu selepas dua artis tersohor dunia, pemain sitar terkenal Ravi Shankar dan Lata Mangheskar berpeluang beraksi di pentas yang sama.
Dengan mempersembahkan 30 buah lagu secara penuh dan medley serta sebuah lagu Inggeris yang pernah dipopularkan Elita Adams, Get Here, kehadiran Siti di pentas dunia itu pasti sahaja mencetuskan satu semangat baru buat penyanyi kelahiran Kampung Awah, Kuala Lipis, Pahang itu dalam usahanya untuk menawan dunia melalui bakat seninya.
Kini debaran Siti pada 1 April sudah pun berakhir. Segala jerih-perihnya untuk menempuh tarikh keramat itu berakhir dengan kejayaan membanggakan.
Kepada para peminat Siti Nurhaliza di negara ini, UTUSAN MALAYSIA menyiarkan wajah-wajah Siti sewaktu beraksi di pentas berprestij itu.

Tiada ulasan: