05 April 2005


ABDUL AZIZ menunjukkan artifak yang dijumpai di perairan
Selat Melaka, semalam. ? Gambar oleh Nashairi Mohd Nawi
MELAKA: Seorang nelayan, Abdul Aziz Hussin, 51, menemui enam artifak sejarah iaitu cerek, mangkuk dan pinggan yang dipercayai berusia lebih 500 tahun di perairan Selat Melaka.


Beliau yang tinggal di Muara Sungai Duyong, dekat sini, mengakui semua barang terbabit ditemui di kawasan berlainan sepanjang tempoh empat bulan, sejak akhir tahun lalu.

Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 21 artifak yang kini berada dalam simpanannya.

Abdul Aziz berkata, minat mencari harta karun dan artifak sejarah yang sejak dia berusia 15 tahun memudahkan pencariannya sama ada di kawasan laut dalam atau sebaliknya.

?Kadangkala, saya turun ke laut ditemani anak angkat, Mohd Ali Kadir, 34, menggunakan perahu. Apabila tiba di kawasan lumpur cair, saya mengetuk tempat berkenaan dengan kayu.

?Batu dan bahan sejarah seperti ini mempunyai bunyi berlainan dan selepas itu, saya akan turun ke lumpur mendapatkannya (artifak).

?Bagaimanapun, jika di kawasan laut dalam, saya gunakan pukat bagi mendapatkan artifak yang kadangkala timbul selepas ribut,? katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, beliau pernah menghantar sebahagian besar daripada penemuannya terutama yang ditemui di kawasan Kota Laksamana kepada muzium di negeri ini dan menerima purata bayaran kira-kira RM100 sebulan.

Malah, katanya, sehingga kini, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) masih mempunyai tunggakan bayaran sebanyak tiga bulan terhadapnya.

Ditanya mengenai rancangan terhadap penemuan artifaknya, beliau mengakui sudah menemui Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akhir tahun lalu bagi memaklumkannya.

Beliau berkata, daripada pertemuan itu, Ketua Menteri memberi jaminan akan menilai barangan terbabit dan kemungkinan mengambil sebahagian manakala membenarkan sebahagian lain menjadi simpanan Abdul Aziz sebagai penghargaan kepada usahanya.[BH]

Tiada ulasan: